Bab 1

HUJAN turun dengan lebat diselangi dengan bunyi guruh yang kuat berdentum. Dalam kepekatan hujan yang turun menyembah bumi, Azman berdiri seorang diri di tepi pantai, khusyuk memerhatikan sampannya yang terapung semakin jauh dibawa ke tengah lautan. Muka Azman kelihatan sangat cengkung dan pucat. Badannya kurus kering ibarat jerangkung. Pakaiannya kotor dan koyak rabak. Walaupun baru berusia 28 tahun, Azman kelihatan seperti orang tua yang dalam kesakitan dan tidak lagi berupaya.

Hujan masih lebat dan turun tanpa henti. Ombak yang tinggi dan angin yang kencang menolak sampan itu jauh ke tengah lautan hingga hilang dari pandangannya. Setelah memastikan sampan itu sudah hanyut, Azman yang menggalas guni besar, mula berjalan terbongkok-bongkok menyusuri pantai. Dia menjumpai laluan kecil untuk masuk ke kawasan hutan tebal di belakang pantai. Azman perlahan-lahan menyusuri lorong kecil itu dengan harapan menjumpai tempat untuk berteduh dan berehat. Lebih kurang lima minit perjalanan, hujan yang lebat tadi perlahan-lahan reda, hanya renyai-renyai sahaja. Tiba-tiba, Azman jatuh melutut dan mengerang kesakitan dengan kuat. Mukanya berkerut-kerut dan tangannya memegang dada, menahan kesakitan.

“Azman! Kita kat mana sekarang?”

Kedengaran suara wanita yang garau dari arah belakang Azman. Serta-merta, kelihatan sepasang tangan wanita tua yang berkedut, perlahan-lahan muncul daripada permukaan guni di belakang Azman. Jarinya kurus dan kukunya panjang kehitaman. Tangan tuanya rakus mencapai dan menarik rambut Azman dengan kuat.

“Kau cakap kat aku Azman, kalau tak, aku koyak telinga kau!”

Suara wanita garau itu mengugut Azman.

Azman masih lagi melutut di tanah menahan kesakitan dan air matanya mula mengalir. Azman menjawab persoalan wanita tua itu seperti orang yang terseksa.

“Aduh! Kita dah berdekatan dengan Kampung Dangi.”

“Betul ke ni? Kau tak bohong?” Wanita tua yang dipanggil Anira itu bertanya.

“Betul Anira! Betul!” tersedu-sedu Azman menjawab.

“Bagus! Dah empat hari aku tak makan. Sekarang cepat! Dapatkan makanan untuk aku! Faham tak?” Anira melepaskan cengkamannya pada rambut Azman, perlahan-lahan menarik tangannya masuk kembali ke dalam guni.

Hujan renyai-renyai tadi sudah mula berhenti. Matahari kembali bersinar. Daripada permukaan guni yang terbuka, terlihat samar-samar wajah seorang wanita. Matanya yang besar dan merah menyala jelas kelihatan.

“Assalamualaikum!” Azman tersentak apabila mendengar suara seorang lelaki memberi salam.

Azman mendongak dan melihat Kamsani, salah seorang penghuni Kampung Dangi sedang berdiri di hadapannya. Azman kaku.

“Assalamualaikum. Encik sihat? Boleh saya tolong?” Kamsani bertanya dengan senyuman mesra.

Azman bingkas bangun dan serta-merta berlari lintang-pukang memasuki kawasan semak samun. Seolah-olah dikejar hantu, Azman berlari dengan pantas sekali. Sekejap-sekejap menoleh ke belakang untuk memastikan Kamsani tidak mengekorinya. Setelah jauh dia berlari, Azman berhenti dan terbongkokbongkok
kepenatan. Dalam tercungap-cungap menggapai udara, Azman menoleh ke belakang dan melihat sekeliling kawasan tersebut untuk memastikan dia tidak diekori oleh Kamsani. Tiba-tiba, kedengaran suara garau Anita dari dalam guni yang digalas Azman, sekali lagi.

“Hoi, bodoh! Mana dia? Kau tak nampak ke dia berdiri depan kau tadi, bodoh? Kenapa kau lalai sangat?”

Sekali lagi Anira mengeluarkan tangannya dan merentap rambut Azman dengan rakus membuat Azman menangis teresak-esak.

“Maafkan saya. Saya pasti yang dia tak ikut kita. Betul! Saya tengok sekeliling kita. Dia tak ada. Maafkan saya!” Perlahan-lahan, muncul kepala seorang wanita tua daripada pemukaan guni itu.

Mukanya bengis, pucat lesi, berkedut dan sangat cengkung, mampu menakutkan sesiapa sahaja yang memandangnya. Matanya merah menyala dan besar itu terbeliak memerhatikan persekitaran hadapan mereka. Anira melepaskan cengkaman pada rambut Azman dan menepuk mukanya.

“Azman! Kau tengok sana! Kau nampak tak?” Anira tersengih sambil menunjukkan sesuatu kepada Azman.

Tidak jauh daripada mereka, terdapat sebuah rumah usang umpama telah lama ditinggalkan dan tidak berpenghuni. Azman tersenyum lebar dan mengesat peluhnya lalu berjalan pantas ke rumah usang itu.

Rumah usang itu buruk sekali. Lantai, tiang dan kayunya sudah tua, pasti sudah ditinggalkan bertahun-tahun lamanya. Lalang tumbuh tinggi di sekeliling rumah. Apabila Azman membuka pintu hadapan rumah, longgokan daun-daun dan tangkai kering bersepah di atas lantai kayu yang kelihatan reput. Semua tingkap di

dalam rumah ditutup rapat, membuatkan rumah itu gelap-gelita. Hanya sedikit sahaja cahaya menembusi lubang kecil di dinding rumah yang mereput dimakan anai-anai.

Azman perlahan-lahan meletakkan guni di atas lantai dan terduduk di penjuru dinding, bersandar kepenatan. Anira perlahanlahan menggunakan tangannya untuk menarik diri keluar daripada guni. Oleh kerana kedua-dua belah kakinya tidak berkemampuan untuk menampung berat badannya, Anira hanya mampu bergerak dengan menggunakan tangannya untuk mengheret dirinya bagaikan orang yang lumpuh. Kakinya yang sudah lama tidak digunakan itu kelihatan seperti tulang yang hanya dibaluti sedikit kulit, kurus dan kotor.

Anira mengeruk-ngeruk belakang tengkuknya, di mana terletak sebatang paku yang sudah 100 tahun tercucuk di situ. Paku itulah yang mengukuhkan sumpahan Anira, sumber segala kuasa yang diperolehinya. Sumpahan Anira akan hilang dan dia akan kembali seperti manusia biasa tanpa paku itu. Perlahan-lahan, Anira menarik badannya menuju ke pintu hadapan rumah usang itu. Anira mendongak ke atas beberapa kali, melihat sekeliling rumah yang gelap itu. Apabila dia terpandang Azmanyang hampir terlelap kepenatan di penjuru dinding, dengan pantas dia mengheret dirinya ke arah Azman dan menepuk kaki Azman dengan kerasnya.

“Hoi! Tunggu apa? Bersihkan tempat ini cepat! Dah empat hari aku dalam sampan tu, aku lapar! Carikan aku makanan cepat! Cepat!”

Belum sempat Azman menyahut suruhan Anira, tiba-tiba kedengaran bunyi ranting kayu patah dari kawasan luar rumah. Anira menoleh ke arah Azman dan memberikan isyarat untuk dia diam, sambil berbisik.

“Apa tu? Kau pergi intai cepat!”

Azman merangkak perlahan-lahan ke arah lubang kecil di dinding kayu yang reput itu dan mengintai keluar. Azman lihat Kamsani, orang kampung yang dijumpai mereka tadi sedang perlahanlahan berjalan menghampiri rumah usang itu. Azman cemas. Anira yang berang menolak muka Azman ke tepi dan mengintai
sendiri melalui lubang kecil itu. Setelah melihat Kamsani yang semakin menghampiri rumah usang itu, Anira mula tersenyum sinis. Anira membelai lembut kepala Azman sambil berbisik sekali lagi.

“Kau nampak tu Azman, makanan aku dah sampai. Dengar sini. Aku pergi sembunyi di belakang sana nanti. Bila dia masuk ke dalam, aku akan kejutkan dia. Kerja kau pula ketuk kepala dia sampai dia pengsan. Faham?” Anira memberi arahan dengan bengis.

Azman hanya mampu mengangguk. Azman mencapai  batang kayu besar yang terdapat di atas lantai kayu rumah usang itu dan bersembunyi di sudut gelap, bahagian kiri pintu hadapan rumah tersebut. Anira pula dengan pantas mengheret dirinya ke bahagian kanan pintu hadapan dan bersembunyi. Kamsani mula menghampiri rumah usang itu dan apabila dia melangkah kakinya masuk ke dalam rumah itu, Kamsani terdengar bunyi ketukan di sebelah kirinya. Tersentak dengan bunyi itu, dia menoleh ke bahagian kiri dan ternampak satu bungkusanputih di atas lantai. Dalam kehairanan, Kamsani berjalan perlahan-lahan menghampiri bungkusan putih itu. Dengan serta-merta, Anira mendongak dan memekik dengan sekuat hatinya untuk mengejutkan Kamsani.

Kamsani mula mengundurkan dirinya perlahan-lahan ke belakang namun dia tidak menyedari yang Azman berada di belakangnya. Dengan kuat Azman memukul kepala Kamsani menggunakan batang kayu yang dijumpainya itu sehingga Kamsani rebah di atas lantai dan tak sedarkan diri. Anira dengan pantas mengheret tubuhnya naik ke atas badan Kamsani dan rakus menggigit leher Kamsani. Darah dari nadi utama di leher Kamsani terpancut keluar tanpa henti. Azman terdiam dan serta-merta mengundurkan dirinya ke belakang terduduk di sudut rumah usang itu. Dia terrsandar sambil memeluk kedua-dua lututnya dan menangis umpama budak kecil yang ketakutan.

Setelah puas menghisap darah Kamsani, Anira mendongak dan mengesat darah yang meleleh di bibirnya. Anira merenung Azman dengan bengis.

“Hoi, kau tunggu apa lagi? Cepat! Belah dada dia!”  Dalam keterpaksaan, Azman mula menangis teresak-esak.

Anira dengan bengis memerhatikan Azman yang ketakutan. Azman mengeluarkan pisaunya dan teragak-agak menghampiri badan Kamsani yang terkujur kaku di lantai. Perlahan-lahan, Azman membelah dada Kamsani, membuka ruang luas untuk membenarkan Anira memasukkan tangannya ke dalam dan meragut jantung Kamsani keluar. Tangan Anira dipenuhi darah, dengan jantung Kamsani kemas dalam genggamannya. Sedikit demi sedikit jantung Kamsani itu dijamah Anira, digigit dan dikunyahnya perlahan. Setelah habis meratah jantung Kamsani itu, Anira rebah dan terbaring di sisi mayat Kamsani dan mengerang kesakitan.

Tiba-tiba, muka Anira mula berubah. Matanya yang besar merah menyala itu berubah menjadi putih. Kulitnya yang pucat lesi berubah menjadi kemerah-merahan. Kulit tangan dan kakinya yang tua berkedut itu, mula menjadi tegang. Rambutnya yang kusut-masai dan putih beruban itu mula berubah menjadi ikal mayang dan kehitaman. Azman yang masih terduduk ketakutan di sudut dinding tibatiba dikejutkan dengan suara hilaian yang sangat kuat. Azman tersentak melihat Anira yang tadinya wanita tua yang lumpuh, kini mampu berdiri. Perempuan yang hodoh tadi kini sudah menjadi seorang wanita yang sangat cantik.

Klik Sini untuk Baca Bab2 | Klik Sini untuk Baca Bab3