Bab 2

HARI ini merupakan hari yang istimewa buat Ishak. Hari di mana dia akan diijabkabulkan dengan kekasihnya sejak kecil, Marini, anak penghulu Kampung Dangi. Mereka berdua, bagaikan pinang dibelah dua. Senyuman tidak lekang daripada bibir Ishak, memikirkan tentang bakal isterinya itu. Sebelum bergerak ke majlis di rumah keluarga Marini, rombongan daripada pihak lelaki bersiap sedia di rumah Ishak. Ahmad, Rashid dan Kassim, sahabat karib Ishak sejak kecil lagi antara yang memeriahkan suasana di rumah Ishak. Mereka berempat sememangnya amat rapat, sentiasa bermain, belajar agama malah bekerja di ladang bersama-sama. Hari ini mereka bertiga menolong sahabat karib mereka untuk bersiap sedia untuk majlis perkahwinannya. Usikan dan tawa tak lekang antara mereka.

“Segak betul kau ni Shak. Untung Marini dapat kahwin dengan kau,” ujar Ahmad sambil memeluk bahu Ishak.

Ishak yang mendengar pujian Ahmad mula malu dan tersipu-sipu mengukir senyuman sambil membalas pujian Ahmad. “Apa Marini yang untung dapat aku. Aku yang sebenarnya beruntung sangat dapat dia! Wanita secantik Marini ingin berkahwin dengan aku.”

Rashid yang dari tadi hanya mendengar perbualan Ahmad dan Ishak mencelah sambil ketawa terbahak-bahak. “Ya, kau memang beruntung dapat si Marini tu kerana aku yang mengundur diri, beri laluan pada kau. Kalau tak, akulah yang duduk atas pelamin sebelah Marini hari ini!” Kassim terbahak-bahak ketawa mendengar ungkapan Rashid,dengan cepat dia membalas.

“Rashid, sudah sudahlah berangan. Kau jangan berangan nak dapat Marini. Kalau kau yang duduk sebelah Marini hari ni, itu bukan lagi bagai pinang di belah dua, tapi bagai pinang diletup dua.” Mereka berempat ketawa terbahak-bahak mendengar ungkapan Kassim itu. Tiba-tiba bapa Ishak melaungkan sesuatu dari
luar.

“Ishak! Kau dah siap ke belum? Bersolek lama benar, kalah pengantin perempuan. Cepat, Ishak! Rombongan kompang tunggu di luar!”

Selepas mendengar laungan itu, mereka berempat kelam-kabut keluar dari bilik dan menghampiri rombongan kompang yang sedang menanti. Setelah semua bersedia, dengan iringan bunyi kompang, mereka melalui lorong kecil ke rumah Marini. Mempelai diarak ke pelamin dan diraikan oleh seluruh penduduk

kampung. Baju pengantin yang berwarna merah menaikkan lagi seri Marini yang memiliki kulit gebu. Mereka berdua diraikan dengan meriah sekali dan semuanya berjalan dengan lancar. Ayah Marini, Penghulu Shah, merupakan penghulu Kampung Dangi dan isterinya, Fatimah sedang sibuk menyambut kedatangan
pihak tetamu yang datang tanpa henti. Tetamu yang hadir terdiri daripada ahli keluarga kedua-dua belah pihak dan seluruh penduduk Kampung Dangi.

Penghulu Shah ternampak Tok Zamri datang ke majlis perkahwinan itu, Penghulu Shah menghulurkan salam dan disambut mesra oleh Tok Zamri.

“Tahniah, tok. Alhamdulillah, majlisnya meriah. Berseri-seri kedua-dua mempelai atas pelamin, ya!” Penghulu Shah ketawa.

“Terima kasih banyak, tok. Alhamdulillah, moga majlis ini berjalan lancar. Eh, pergilah makan, tok! Nanti habis pula lauk rendang kegemaran tok nanti.” Tok Zamri menggeleng sambil ketawa dan berjalan masuk ke khemah untuk menikmati hidangan yang disediakan.

Sementara itu, di sebalik sebatang pokok besar berdekatan dengan majlis perkahwinan Ishak dan Marini, kelihatan Saleha sedang menangis teresak-esak. Saleha cuba menenangkan diri namun pelbagai persoalan bermain di benaknya. Mana Abang Kamsani tak pulang lagi? Bisik hatinya. Persoalan yang bermain di

fikiran Saleha sekali lagi memberatkan kewarasannya. Hatinya inginkan jawapan, namun Saleha khuatir ia akan mengganggu orang lain, terutamanya Penghulu Shah.

“Hari ini majlis Marini. Nanti aku mengganggu majlis pula. Ya ALLAH, runsingnya. Mana Abang Kamsani pergi?” Saleha yang sedang mengandung lapan bulan, cuba untuk menenangkan dirinya dengan menarik nafas panjang. Kemudian, dia mengesat saki-baki air matanya dengan hujung kain tudung dan berjalan

perlahan-lahan menuju ke majlis perkahwinan Ishak dan Marini. Kedatangan Saleha disambut mesra oleh Kak Fatimah. Saleha cuba sedaya upaya untuk menahan sebaknya dan menyalami Kak Fatimah tetapi Kak Fatimah ternampak rupa Saleha yang sembab. Kak Fatimah kelihatan khuatir.

“Leha, kau kenapa? Kenapa kau menangis?”

“Tak ada apa kak. Meriah majlis ni ya,” ujar Saleha cuba untuk menangkis persoalan Kak Fatimah.

Tetapi Kak Fatimah mampu mengesan sesuatu daripada raut wajah Saleha. Dia pasti ada sesuatu yang merunsingkan hati wanita itu. Dalam penuh simpati, Kak Fatimah sekali lagi cuba untuk mengorek rahsia hati Saleha.

“Janganlah begini, Leha. Kalau kau ada masalah, ceritalah. Beritahu kami. Insya-ALLAH kami boleh bantu.” Tiba-tiba Kak Fatimah sedar yang Kamsani, suami Saleha tak berada di situ.

“Mana Kamsani? Kenapa kau datang seorang diri?” Ketika itu, Saleha tidak lagi mampu untuk menahan kerisauan hatinya. Air matanya berjujuran turun ibarat hujan membasahi bumi.

Tangisan Saleha mengejutkan Kak Fatimah, namun Kak Fatimah bijak mengawal keadaan. Dia memeluk Saleha dan membelainya lembut, memujuknya untuk berhenti menangis dan menceritakan perkara yang telah berlaku.

“Saya… saya tak tahu, kak. Tengah hari semalam, Abang Kamsani kata dia nak ke pantai untuk baiki jala yang koyak. Tapi sejak semalam dia tak pulang ke rumah sampai hari ni. Saya tak tahu ke mana dia pergi kak. Bimbang saya. Saya runsing, saya tak tidur semalam tunggu dia.”

Fatimah yang masih memeluk Saleha terkejut mendengar perkhabaran daripada mulut Saleha itu.

“Ya ALLAH Leha, kenapa kau tak beritahu kami awal-awal?”

“Risau, kak. Kalau boleh saya tak nak mengganggu majlis perkahwinan Marini. Saya fikir Kamsani akan balik pagi ni. Tapi sekarang dia tak balik juga.”

Saleha ternyata tidak lagi mampu menyembunyikan kesedihan yang melanda dirinya dan mencurahkan saki-baki air matanya atas kehilangan Kamsani. Penghulu Shah yang berdiri berhampiran kehairanan apabila ternampak Saleha menangis.

“Saleha, kenapa kau menangis? Kau ada masalah ke?” Fatimah menjawab persoalan suaminya bagi pihak Saleha.

“Kamsani ke laut semalam, bang. Tapi sampai hari ni tak pulangpulang. Mungkin dia dalam kesusahan, bang?”

“Ya ALLAH!” Penghulu Shah terkejut dan menggeleng.

Mukanya kelihatan bimbang. Perlahan-lahan, Penghulu Shah cuba memujuk Saleha yang masih dalam kesedihan.

“Saleha, sabar ya. Nanti saya kumpulkan beberapa orang kampung untuk cari Kamsani. Insya-ALLAH, Kamsani selamat.”

Fatimah yang berdiri di sebelah Saleha cuba memujuk dan menenangkan Saleha.

“Pergilah duduk, Leha. Tenangkan fikiran kau. Usah khuatir, nanti penduduk kampung carikan Kamsani. Kau fikirkan kandungan kau juga, Leha. Tak bagus bersedih-sedihan ni.” Saleha mengangguk lemah sambil mengesat saki-baki airmatanya.

Perlahan-lahan dia berjalan ke arah kerusi yang kosong dan duduk. Saleha tidak mempedulikan suasana meriah yang memenuhi majlis perkahwinan itu. Makanan yang dihidangkan di atas meja juga tidak dipandangnya, apatah lagi untuk dijamah. Di satu sudut majlis itu, kelihatan Ahmad, Kassim dan Rashid
sedang duduk berkumpul dan enak bersembang, dilatari majlis yang semakin meriah.

“Amboi, sedap betul lauk ayam Cik Limah, hari ni. Tengok, dah berapa kali aku tambah.” Ahmad becok memuji kesedapan masakan kenduri yang dihidangkan sambil menggosok-gosok perutnya.

“Sudahlah Ahmad. Dasar pelahap. Semua benda kau makan. Sepuluh bulan ke kau tak makan. Kau tengok perut kau dah macam perempuan mengandung lapan bulan!” Mereka ketawa berdekah-dekah.

Ahmad melemparkan kertas yang telah digulung-gulung menjadi seperti bola ke arah Kassim. Kemudian perhatiannya dialihkan kepada Rashid, yang sedang asyik mengelamun, merenung ke arah pelamin pasangan pengantin.

“Hoi, Rashid! Kau berangan apa? Sudahlah, yang pergi jangan dikenang. Kau pilih seorang anak dara yang kau suka dalam majlis ini. Aku pinangkan untuk kau nanti.”

Tiba-tiba, Rashid mengangkat tangannya sambil mula bersajak.

“Oh Marini, aku cinta padamu seikhlas hati, dari hari ini sampai ke mati, cintaku sedalam perigi…”

Sekali lagi mereka ketawa berdekah-dekah. Rashid tidak menghiraukan gelak tawa kawan-kawannya, sebaliknya terus menerung pelamin pasangan pengantin. Tiba-tiba, Rashid tersentak apabila bahunya ditepuk dengan kuat dari belakang. Dia menoleh ke belakang dan ternampak adiknya, Zam. Muka Zam kelihatan

pucat lesi, dengan nafas yang tercungapcungap dan baju yang basah lencun dek peluh.

“Kenapa kau termengah-mengah ni Zam? Kau dari mana?” marah Rashid yang kehairanan melihat tingkah Zam yang masih tercungap-cungap seperti dalam ketakutan.

Zam cuba untuk menenangkan dirinya dengan menarik nafas panjang sebelum berbicara.

“Abang… saya… saya dengan Sidi tadi terjumpa… terjumpa mayat. Kat tepi sungai. Hujung sana. Kami… kami terjumpa mayat. Mayat tak ada kepala!”

Klik Sini untuk Baca Bab1 | Klik Sini untuk Baca Bab3