Bab 3

Rashid merengus cuba menahan marah. Dia tahu benar dengan perangai Zam yang gemar bergurau dan membuat kekacauan itu. Tapi, masakan Zam mahu buat kekacauan di majlis perkahwinan sahabat baiknya. Ini bukan masa untuk bergurau. Apatah lagi ini majlis penghulu kampung. Rashid menarik tangan Zam dan memaksanya untuk duduk di kerusi disebelahnya. Dia merapatkan mukanya ke muka Zam dan perlahan-lahan berbisik dalam nada tegas.

“Zam, ini majlis tok penghulu, tau. Tolong hormat mereka. Kau jangan nak bergurau kat sini. Abang cakap kat ayah dengan mak baru kau tau.” Zam yang ternyata masih dalam ketakutan menggeletar, cuba menjawab amaran abangnya.

“Betul! Zam tak bohong. Ini bukan gurauan, Zam jumpa mayat dalam sungai kat hujung sana. Mayat tu berlumuran darah! Kepala tak ada! Sumpah, bang!” Rashid merenung Zam, lama. Inginkan kepastian atau hanya ingin meletakkan kepercayaan kepada adiknya ini.

“Kalau abang tak percaya, mari ikut Zam. Kita pergi sana, Zam tunjukkan!” Zam cuba meyakinkan Rashid dan sahabat-sahabatnya.

Ahmad dan Kassim tercengang, masih belum sempat menghadam berita yang baru didengari. Mereka saling berpandangan antara satu sama lain dalam keadaan terpinga-pinga. Tiba-tiba Ahmad bersuara.

“Kalau betul apa yang Zam cakap ini, macam mana?” Zam, Rashid dan Kassim saling berpandangan.

“Aku rasa kita patut beritahu tok penghulu, sekarang!” Ahmad terus bangun dengan niat untuk memberitahu berita ini kepada tok penghulu tetapi tangannya ditarik kasar oleh Kassim, membuatkannya terduduk semula di kerusi. Perlahan-lahan Kassim membisikkan sesuatu kepada Ahmad.

“Mad, majlis perkahwinan Ishak ni. Kau tengok, tok penghulu sibuk dengan tetamu. Patut ke kita mengganggu dia?” Mereka berempat serentak memandang pintu gerbang perkahwinan, melihat Penghulu Shah yang masih sibuk menyambut kunjungan tetamu yang tak berhenti-henti.

Suasana meriah, namun mereka berempat membisukan diri, membiarkan logik akal berfungsi. “Kita janganlah peningkan kepala orang tua tu. Aku rasa kita berempat aje yang pergi tempat tu dulu. Selidik sedikit.” Rashid dan Ahmad mengangguk dengan cadangan Kassim.

Rashid tiba-tiba berdiri dan menoleh ke arah Zam.

“Eh, Zam! Tadi kau cakap kau dengan Sidi. Mana Sidi?”

Zam menoleh ke belakang, cuba mencari Sidi. Kassim, Ahmad dan Rashid juga sibuk menoleh.

“Eh, mana Sidi? Tadi Sidi ada dengan Zam. Aduh, mana pula dia pergi?” Zam menggaru-garu kepalanya.

“Apa jadi tadi? Cuba kau ingat balik, bila kau nampak Sidi kali terakhir?”

“Tadi… Zam rasa mungkin Zam tertinggal dia tadi, kat belakang. Sebab Zam terus lari lintang-pukang lepas nampak mayat tu. Entah-entah, dia masih kat kawasan mayat tadi. Macam mana sekarang, bang?”

Zam memandang Rashid. Rashid memandang Ahmad dan Ahmad memandang Kassim. Riak wajah mereka menunjukkan satu jawapan.

“Tak mengapa, Zam. Rashid, Kassim! Mari kita pergi?” Dengan serentak mereka berdiri dan serta-merta berjalan pantas merentasi hutan untuk segera sampai ke tempat mayat itu.

Zam agak ketinggalan di belakang ketika berjalan dengan mereka kerana terlalu risau memikirkan tentang Sidi yang tiba-tiba hilang. Sambil berjalan, Zam memekik-mekik memanggil nama Sidi dan asyik menoleh ke kiri dan kanan hutan. Rashid yang sedar adiknya ketinggalan di belakang mula memperlahankan

kelajuan dan melaungkan nama Zam, memintanya untuk berjalan dengan lebih pantas. Zam terkejut mendengar laungan itu dan terus mendekati abang dan rakan-rakannya. Zam dibiarkan berjalan di hadapannya. Tiba-tiba bunyi guruh yang kuat beserta dengan kilat yang sabung-menyabung menyentak mereka

berempat. Angin kencang mula menampar pokok-pokok di sekeliling dalam hutan. Langit yang tadinya cerah serta-merta bertukar menjadi gelap. Ahmad, Kassim dan Rashid berhenti di tengah-tengah hutan yang mula gelap itu, menoleh ke kiri dan kanan ibarat bingung dan khuatir melihat sekeliling. Zam yang terdahulu di hadapan tersentak mendapati dirinya keseorangan, membuatkannya menoleh ke belakang memanggil mereka yang jauh ketinggalan.

“Abang! Cepatlah jalan. Hari macam nak hujan, ni.”

Rashid mengangguk mendengar kata-kata Zam. Dia terus menarik lengan baju Kassim lalu berjalan dengan pantas membontoti Zam. Ahmad masih tertinggal di belakang. Ahmad tersentak apabila menyedari dirinya tertinggal jauh di belakang dan pantas bergerak. Tiba-tiba di sudut matanya dia ternampak susuk putih, berambut panjang dan berdiri tidak jauh daripadanya. Tiba-tiba, bulu roma Ahmad berdiri. Ahmad segera menutup dan menggosok-gosok matanya, kemudian dia memberanikan diri dan membuka matanya semula, kelibat yang dilihatnya tadi tidak lagi kelihatan. Ahmad menggeleng dan tersenyum sendiri.

Hisy… khayalan aku, agaknya. Bisik hatinya. Kassim, Rashid dan Zam sudah jauh di hadapan. Lintang-pukang dia lari cuba mengejar mereka. Perjalanan mereka merentas hutan untuk tiba di sungai itu memakan masa selama setengah jam dan sepanjang perjalanan, mereka berempat diam membisu. Yang kedengaran hanya bunyi daun pokok kering yang laju dipukul angin kencang. Petanda hujan yang bakal turun. Setelah sampai di tebing sungai itu, Zam terus menunjukkan arah mayat yang dijumpainya tadi. Melopong mereka memerhati di celahan batu di tepi sungai ada sesusuk tubuh seorang lelaki yang tidak berkepala. Mayatnya sudah kembang dan membengkak di dalam air.

“Astaghfirullahalazim! Mayat siapa ni?” Ahmad beristigfar selepas melihat mayat tersebut dari atas tebing.

Kassim terlebih dahulu pantas menuruni tebing, menghampiri mayat tersebut. Rashid masih terlopong.

“Kenapa tercegat kat situ? Cepatlah turun tengok mayat siapa ni!”

Kassim memberi arahan, meminta rakan-rakannya turun menghampiri mayat. Rashid, Ahmad dan Zam terus turun ke bawah tebing sungai menghampiri mayat dengan lebih dekat untuk mengenal pasti siapa. Bahagian dada mayat itu berlubang dan berlumuran dengan darah kering yang mendatangkan bau busuk. Kassim berdiri di hujung tebing memerhati arus dan aliran sungai, berkira untuk mencari arah mayat itu dihanyutkan. Ahmad mengambil sebatang kayu berhampiran dan mula menguis tangan mayat. Tiba-tiba dia memanggil kawannya yang lain untuk menghampiri mayat.

“Kenapa Ahmad?” Kassim menyoal.

“Kau tengok ini.” Ahmad menunjukkan tangkal yang terdapat di pergelangan tangan mayat.

“Aku pernah tengok tangkal ni. Hmm… macam tangkal… tangkal Kamsani!” Kassim, Rashid dan Zam tersentak dan terkejut apabila mendengar nama Kamsani.

“Sabar. Sabar. Nanti dulu. Tadi kat majlis tok penghulu, ada sesiapa nampak Kamsani?” Rashid cuba menenangkan keadaan.

“Aku tak perasan Kamsani tadi kat majlis, aku nampak Saleha. Tapi Saleha seorang aje tadi. Tapi Saleha pun nampak macam sedih,” jawab Ahmad.

Keadaan mayat yang sudah membengkak, menyukarkan mereka untuk mengenal pasti siapakah mayat itu. Tiba-tiba, guruh dan kilat sekali lagi menyentak mereka. Rashid mendongak dan dapat melihat petir memanah kawasan tidak jauh dari tebing sungai itu.

“Macam mana? Nak hujan, ni.” Ahmad menyoal.

Tanpa membuang masa, Rashid terus membuat keputusan.

“Macam nilah, hujan dah nak turun. Kita tak boleh tunggu sini lamalama. Aku dan Zam tunggu kat sini, jaga mayat ni. Ahmad, kau dan Kassim balik ke kenduri dan beritahu penghulu dengan cepat. Boleh?”

Ahmad dan Kassim mengangguk tanda setuju. Hal ini harus diberitahu segera kepada penghulu. Tiba-tiba, Zam terpekik memanggil Rashid, Ahmad dan Kassim.

“Abang! Abang! Mari sini cepat!”

Mereka bertiga terkejut dan segera memandang Zam yang tidak jauh dari tempat mereka berdiri, sedang menunjuk ke arah celahcelahan batu. Mereka segera menghampiri Zam yang terduduk di tanah dan mula menangis. Badannya menggeletar dan mukanya pucat. Tangannya asyik menunjuk ke arah celah-celahan batu yang terdapat di hadapannya.

Rashid, Kassim dan Ahmad segera memandang ke arah telunjuk Zam dan terpaku apabila melihat kepala Kamsani dan mayat Sidi terselit di dalam celahan batu itu

Klik Sini untuk Baca Bab1 | Klik Sini untuk Baca Bab2